Ahad, 16 November 2008

RASUAH:SURAT TERBUKA UNTUK UMNO

Pertamanya, saya ingin mencadangkan istilah ‘rasuah’ digunakan bagi menggantikan istilah ‘politik wang’ yang masih konotatif sifatnya walaupun sebenarnya dua istilah itu sinonim. Istilah ‘rasuah’ ini lebih dampak dan menampakkan impaknya terhadap para pengamalnya.

Mutakhir ini para pemimpin UMNO pelbagai peringkat termasuk mantan PM, Tun. Dr. Mahathir Mohamad telah mula menyedari kotor dan kesan rasuah dalam UMNO. Pelbagai pandangan dan komen diberikan sama ada secara langsung atau sinis. Hal ini berlaku apabila gejala rasuah ini telah menjadi wabak yang menggoncang kepimpinan UMNO. Wang dihamburkan dalam pelbagai bentuk sama ada tunai, tajaan jamuan dan lawatan, projek dan seumpamanya. Kepimpinan UMNO tidak lagi dipilih dari kalangan pemimpin yang ikhlas dan berwibawa tetapi kriterianya dominan pada siapa mampu memberi wang yang lebih besar jumlahnya.

Ikhlaskah Mahathir, Mahyudin Yassin, Dr. Rais Yatim dan pemimpin UMNO lainnya dalam pandangan mereka terhadap gejala rasuah? Apakah kebencian sesetengah pemimpin UMNO terhadap rasuah zahir setelah mereka tidak mampu lagi menyediakan wang berjuta untuk ahli-ahli UMNO? Atau apakah mereka mula sedar bahawa UMNO akan dikuasai oleh pemimpin yang tidak berwibawa apalagi berjiwa rakyat? Tidak pernahkah para pemimpin UMNO membenci sesuatu bertolak dari premis agama yang mengharamkan rasuah dan melaknat pemberi dan penerimanya? Di manakah kedudukan ‘Allah, ajaran al-Quran dan ancaman dosa-neraka’ dalam dada mereka yang sama-sama mengucap kalimah “asyhadu alla ilaha illaLah, wa asyhadu anna Muhammadar-rasululLah.?” Apakah kalau gejala ini tidak meruntuhkan UMNO, maka gejala ini tidak menjadi kudis gatal kepada pemimpin UMNO?

Salahkah kalau dikatakan rasuah dalam pemilihan UMNO bersifat relatif dengan rasuah dalam pilihanraya umum (PRU) dan pilihanraya kecil(PRK)? Kalau ada beza, tolonglah Tun Dr. Mahathir, Mahyudin Yassin dan Dr. Rais Yatim jelaskan? Jelaskanlah kepada rakyat melalui ucapan,tulisan dan blog masing-masing perbezaan ini agar rakyat tidak terus-terusan mengkategorikan kalian sebagai pemimpin-pemimpin yang temberang; bagai menanam tebu di bibir mulut, pepat di luar runcing di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait?

Apakah beza menganjur jamuan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan UMNO? Apa beza beri bantuan basikal kepada rakyat dalam tempoh kempen pilihanraya kecil atau PRU dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza taja lawatan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan? Apa beza buat projek segera untuk rakyat semasa tempoh pilihanraya dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza beri duit kepada perwakilan semasa musim pemilihan dengan masa di luar musim pemilihan? Apa beza beri kain pelikat, atap zink dan baja kepada rakyat semasa musim pilihanraya dengan ketika di luar musim pilihanraya? Jelaskanlah dengan jujur dan bermaruah.

Apa pandangan Tuan-Tuan tentang kemenangan pemimpin Tuan-Tuan kerana rasuah? Apakah pandangan itu jadi berbeza apabila parti Tuan-Tuan menang kerana rasuah dalam PRK dan PRU? Rakyat sering tertanya-tanya mengapa benda yang sama diwarna dengan dua rona - yang satu hitam manakala yang satu lagi putih?

Sesekali aku merasa ingin membelah dadamu wahai pemimpin UMNO untuk melihat dengan jelas apa yang berada di dalamnya? Berilah pisau kepadaku agar aku tidak lagi prejudis akan kejujuranmu.

Ahad, 9 November 2008

JANGAN DISANDINGKAN IKHLAS DENGAN BAKHIL.

JANGAN DISANDINGKAN

IKHLAS DENGAN BAKHIL

Ya akhi,

Amalan sedekah merupakan tuntutan yang sangat dititikberatkan dalam Islam selain daripada sistem zakat. Umat dituntut malah disuruh berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Lalu kita keluarkanlah sebahagian daripada harta benda dan wang kita untuk diisi ke dalam tabung-tabung masjid, peti-peti derma dan dana-dana perjuangan.

Kita sedar dan sentiasa menyedari tentang pentingnya keikhlasan dalam amalan derma. Tidak

dinafikan bahawa insan yang memahami agama selalu mengutamakan keikhlasan dalam beramal. Lalu ada di kalangan kita yang menghulurkan kepingan syiling. Ada yang menyumbangkan RM 1 dan RM2 dan ada pula yang sanggup menyumbangkan sehingga beribu-ribu ringgit dalam dana-dana tertentu.

Ya akhi,

Persoalannya ialah siapa kita, berapakah pendapatan kita dan banyak manakah harta kita?

Persoalannya ialah wajarkah kita dermakan sekadar seringgit dua asalkan ikhlas sedangkan wang dalam dompet kita terselit beratus-ratus ringgit. Masihkah akhi amalkan lagi teori ‘biarlah 10 sen asalkan ikhlas’? Wajarkah kita sumbangkan RM10 sedangkan kita mempunyai wang dalam bank puluhan ribu ringgit? Inilah persoalan dalam anjakan pemikiran ini.

Semasa kita memasukkan syiling-syiling lebihan belanja untuk tabung masjid, apakah yang tersembunyi di hati kita? Semasa kita mengambil RM1 daripada ratusan ringgit di dalam dompet kita untuk didermakan kepada jihad, apakah yang tersembunyi di hati kita? Apakah yang bermain ketika kita telah berasa banyak dengan RM10 daripada puluhan ribu ringgit di dalam bank untuk tabung fakir miskin? Dan apabila kita sudah menderma RM100 untuk mendaulatkan hukum Allah sedangkan kita adalah seorang hartawan, maka kita sudah berasa lebih daripada orang lain? Ya akhi, sebenarnya apakah yang tersembunyi di hati kita selain keikhlasan? Jawapannya ialah tak lain tak bukan; itulah sifat yang dinamakan bakhil. Tilik pandanglah sifat kedekut yang terselit kejap di lipatan amal kita.

Ya akhi,

Wajarkah kita sandingkan sifat ikhlas bersama sifat bakhil di persada iman kita? Bukankah satu itu sifat mahmudah dan satu lagi sifat mazmumah? Sedarlah bahawa perjungan menegakkan hukum Tuhan dan usaha meninggikan syiar Islam memerlukan umat yang mempunyai hati seperti Saidina Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf. Hati insan seperti mereka boleh dimiliki oleh seorang nelayan dan petani, apatah lagi seorang hartawan. Soalnya berapa kadar yang akhi dapat hulurkan untuk fisabilillah nisbah dengan harta yang akhi miliki. Ingatlah, apakah yang masih tersembunyi di lipatan hati ketika di lipatan yang satu lagi kita telah mengatakan ‘saya ikhlas’. Mudah-mudahan ia bukanlah sifat kedekut yang Allah benci. Renung-renungkanlah dan tilikpandanglah.

Khamis, 6 November 2008

DOSA TIDAK KHUSYUK SOLAT

Ana bercakap untuk diri Ana tentang dosa Ana tidak khusyuk solat. Cakap untuk diri sendiri tak perlu masuk internet. Ana cuma beri peluang kepada pengunjung maya untuk berkongsi rasa berdosa kepada Allah sekiranya kita dari kalangan yang sama.

Rasa berdosa ini timbul sudah lama. Sejak Ana terbaca hadis yang mana kita diberitahu bahawa bahagian solat yang khusyuk diterima Allah bagai kain putih bersih manakala bahagian yang tak khusyuk umpama kain buruk yang dilempar kembali ke muka kita.

Rasa gerun dan menyesal bercampur-aduk. Maklumlah solat Ana sentiasa berseling-seli antara khusyuk dan tidak. Ada waktu khusyuknya sehingga 70%. Ada ketikanya cuma khusyuk 30%. Selebihnya ialah bahagian yang tidak khusyuk. Maka apalah nasib Ana dan solat Ana bagi peratusan bahagian yang tidak khusyuk itu?

Ana merasa dukacita dan takut kepada Allah kerana Ana nampak (secara berfikiran projektif) di alam barzakh atau di akhirat kelak tayangan solat Ana oleh Allah s.w.t. Tentulah Allah tunjukkan bahagian-bahagian solat yang tidak khusyuk itu. Tentulah Allah murka. Dan balasan bagi orang yang dimurkai Allah, kita tahulah sendiri. Di akhirat pula tu. Bukan boleh menyesal lagi dan nak balik ke alam dunia kerana nak baiki semula amalan solat yang rosak itu.

Kadang-kadang kita cuma rajin solat sehingga solat sunat kita buat - apa lagi solat sunat rawatib. Hati kita gembira dan tenang kerana banyak melakukan solat sunat. Tetapi petunjuk Allah datang menyedarkan Ana. “Teruskan dengan solat-solat sunat tetapi baiki khusyuk dalam solatmu,” bisik hati Ana. Itulah maksud Ana hidayah Allah. Allah beri peluang Ana berfikir.

Inilah yang Ana hendak luahkan dan mungkin dikongsi bersama oleh sahabat. Tulisan itu dakwah. Kalau tulisan itu bukan medan dakwah, memadai Ana pendamkan sendiri di dalam hati sambil Ana baiki solat Ana sendiri. Demikianlah.