Ahad, 16 November 2008

RASUAH:SURAT TERBUKA UNTUK UMNO

Pertamanya, saya ingin mencadangkan istilah ‘rasuah’ digunakan bagi menggantikan istilah ‘politik wang’ yang masih konotatif sifatnya walaupun sebenarnya dua istilah itu sinonim. Istilah ‘rasuah’ ini lebih dampak dan menampakkan impaknya terhadap para pengamalnya.

Mutakhir ini para pemimpin UMNO pelbagai peringkat termasuk mantan PM, Tun. Dr. Mahathir Mohamad telah mula menyedari kotor dan kesan rasuah dalam UMNO. Pelbagai pandangan dan komen diberikan sama ada secara langsung atau sinis. Hal ini berlaku apabila gejala rasuah ini telah menjadi wabak yang menggoncang kepimpinan UMNO. Wang dihamburkan dalam pelbagai bentuk sama ada tunai, tajaan jamuan dan lawatan, projek dan seumpamanya. Kepimpinan UMNO tidak lagi dipilih dari kalangan pemimpin yang ikhlas dan berwibawa tetapi kriterianya dominan pada siapa mampu memberi wang yang lebih besar jumlahnya.

Ikhlaskah Mahathir, Mahyudin Yassin, Dr. Rais Yatim dan pemimpin UMNO lainnya dalam pandangan mereka terhadap gejala rasuah? Apakah kebencian sesetengah pemimpin UMNO terhadap rasuah zahir setelah mereka tidak mampu lagi menyediakan wang berjuta untuk ahli-ahli UMNO? Atau apakah mereka mula sedar bahawa UMNO akan dikuasai oleh pemimpin yang tidak berwibawa apalagi berjiwa rakyat? Tidak pernahkah para pemimpin UMNO membenci sesuatu bertolak dari premis agama yang mengharamkan rasuah dan melaknat pemberi dan penerimanya? Di manakah kedudukan ‘Allah, ajaran al-Quran dan ancaman dosa-neraka’ dalam dada mereka yang sama-sama mengucap kalimah “asyhadu alla ilaha illaLah, wa asyhadu anna Muhammadar-rasululLah.?” Apakah kalau gejala ini tidak meruntuhkan UMNO, maka gejala ini tidak menjadi kudis gatal kepada pemimpin UMNO?

Salahkah kalau dikatakan rasuah dalam pemilihan UMNO bersifat relatif dengan rasuah dalam pilihanraya umum (PRU) dan pilihanraya kecil(PRK)? Kalau ada beza, tolonglah Tun Dr. Mahathir, Mahyudin Yassin dan Dr. Rais Yatim jelaskan? Jelaskanlah kepada rakyat melalui ucapan,tulisan dan blog masing-masing perbezaan ini agar rakyat tidak terus-terusan mengkategorikan kalian sebagai pemimpin-pemimpin yang temberang; bagai menanam tebu di bibir mulut, pepat di luar runcing di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait?

Apakah beza menganjur jamuan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan UMNO? Apa beza beri bantuan basikal kepada rakyat dalam tempoh kempen pilihanraya kecil atau PRU dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza taja lawatan semasa musim pemilihan dengan di luar musim pemilihan? Apa beza buat projek segera untuk rakyat semasa tempoh pilihanraya dengan di luar musim pilihanraya? Apa beza beri duit kepada perwakilan semasa musim pemilihan dengan masa di luar musim pemilihan? Apa beza beri kain pelikat, atap zink dan baja kepada rakyat semasa musim pilihanraya dengan ketika di luar musim pilihanraya? Jelaskanlah dengan jujur dan bermaruah.

Apa pandangan Tuan-Tuan tentang kemenangan pemimpin Tuan-Tuan kerana rasuah? Apakah pandangan itu jadi berbeza apabila parti Tuan-Tuan menang kerana rasuah dalam PRK dan PRU? Rakyat sering tertanya-tanya mengapa benda yang sama diwarna dengan dua rona - yang satu hitam manakala yang satu lagi putih?

Sesekali aku merasa ingin membelah dadamu wahai pemimpin UMNO untuk melihat dengan jelas apa yang berada di dalamnya? Berilah pisau kepadaku agar aku tidak lagi prejudis akan kejujuranmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan